Lord of the ring

Perkara ini sebenarnya tak pernah aku kongsikan dengan sesiapa. Aku rasakan terlalu privasi dan jika dikongsikan pun bukanlah ada orang nak kisahkan sangat pun. Tetapi sejak kebelakangan ni aku tengok persekitaran yang seperti kehairanan dan dalam keadaan syak-wasangka apabila selalu melihat aku mengenakan sebentuk cincin yang agak unik pada penglihatan mereka. Aku tak risaukan diri aku ini dituduh syirik ataupun ada "memakai" sekalipun, yang aku risau sekeliling aku yang akan jadi syirik dengan mempercayai kekuasaan selain Allah, Maha Raja Segala Raja itu sendiri.

Cincin yang aku sebutkan tu sebenarnya berasal daripada seorang kawan yang sudah tak mahu lagi dengan cincin tersebut. Dia nak buang jadi aku ambil la. Asal cincin itu memiliki batu cincin yang sudah sedikit pecah pada permukaan atasnya. Nampak huduh dan tak menarik bagi aku jadi aku keluarkanlah batu tu. Nak jadikan cerita pulak suatu masa dulu makcik aku pernah mintak tolong aku carikan dia kayu yang kononnya boleh tangkis gangguan makhluk halus ataupun aura-aura kotor ni. Dan pada masa dulu ni aku cukup berminat sangat kalau bab-bab benda yang melibatkan perkara mistik ni. Jadi aku pun jumpa la seorang brader sunan apa tah nama gelaran dia tu, kawan aku yang rekemen. Aku pun beli lah sebentuk kayu yang direka khas untuk buat loket. Katanya kayu tu jenis 'gemunggal' atau dikenali sebagai teras kelo. Jadi aku pun beli la dengan dia dan dia hadiahkan 2 lagi bentuk kayu jenis yang sama. Satu tu aku bagi makcik aku la sebab dia yang bagi duit untuk aku belikan untuk dia kan, satu bentuk tu aku buat rantai tapi dah hilang sekarang ni dan yang last tu aku masukkan dalam sarung cincin yang aku buang batu cincin dia tu. Jadi ini lah hasilnya! 


Aku namakan cincin ni namanya "Sang Sapurba" sempena nama mitos raja di tanah melayu yang dikatakan bersusur galur keturunan Iskandar Zulkarnain.

Asalnya cincin ni tiada langsung ukiran pada permukaannya. Nampak kosong dan biasa sahaja. Jadi aku pun rasa macam tak lengkaplah kalau disarungkan cincin tu pada jari kelingking aku ni. Oleh sebeb itu lah aku buat satu ukiran pada permukaan kayu tersebut. Kalau tengok betul-betul hangpa akan perasan yang ukiran itu sebenarnya adalah sebuah kaligrafi. Kaligrafi ni sebenarnya tak semestinya semacam yang kita belajar di sekolah sahaja. Kaligrafi ini ada berbagai macam. Jadi meh sini aku terangkan apa yang ada pada ukiran kayu cincin kesayangan aku ni.



Tulisan pertama yang di atas sekali tu sebenarnya adalah tulisan "mim ha mim dal" iaitu 'Muhammad'.


 Kaligrafi di bahagian bawah tu pulak adalah kalimah "alif lam lam ha" iaitu 'Allah' yang ditulis dengan keadaan "mirror". Kenapa mirror? Kenapa huruf "alif" ditengah dan bertindih dengan huruf "lam" dan kenapa pula letaknya di bawah dan bukannya diatas?



Ok ini sebabnya kenapa aku ukirkan kaligrafi "Allah" itu dalam keadaan mirror adalah kerana ia bertujuan apabila aku memakai cincin tersebut maka tulisan itu akan nampak dalam tulisan sebenar sepertimana gambarajah diatas. Dengan itu, maka setiap kali aku melihat diluar pandangan mataku ini maka aku akan nampak "Allah" itu dahulu seterusnya barulah aku akan nampak makhluk itu sebagai ciptaan Allah. Maka dapatlah ia mengingatkan aku bahawa setiap segala sesuatu yang aku lihat itu sebenarnya adalah ciptaan Allah belaka. Huruf alif yang bertindih itu sebenarnya berlaku kesilapan semasa aku melakukan ukiran dan akibatnya aku sambungkan sekali dengan huruf lam dan kedudukan kalimah tersebut di bawah adalah kerana pada keyakinan aku adalah bahawa "Muhammad" itu adalah makhluk pertama yang diciptakan Allah dan kalimah nama Allah itu datang sesudahnya. Setelah Allah menciptakan makhluk bernama Muhammad maka Dia perkenalkan diri Nya dengan nama Allah.

Nama Muhammad itu aku letak di atas sebagai lambang penghambaan diri yang paling agung antara Rob dan kekasihnya. Bagaimana kisah cinta kekasih Allah bernama Muhammad yang menghambakan dirinya kepada penciptanya dengan tanpa meminta berlebihan. Cukup apa adanya, bersederhana sahaja. Muhammad itu adalah lambang hamba yang begitu patuh "saleh" dan begitu taat kepada Robnya. Tiada lagi contoh yang lebih setara dengannya. Sebab mengapa tulisan Muhammad itu tidak aku mirrorkan adalah kerana ia melambangkan diri aku sendiri yang sepatutnya menghambakan diri kepada Allah. Jika orang melihat cincin itu mereka akan dapat baca Muhammad tersebut dan keliru dengan kaligrafi di bawah. Maka yang mereka faham kaligrafi Muhammad itu melambangkan akulah sebagai pemakainya dan aku sepatutnya mengawal serta mengingatkan diriku supaya bersederhana sepertimana Muhammad dan mengamalkan sunnahnya iaitu benar, amanah, menerangkan dan bijaksana.

Tiadalah cincin aku ini memakai khadam-khadam dari kalangan jin serta iblis. Tiada gunanya berdamping dengan mereka-mereka itu sedangkan mereka juga makhluk ciptaan Allah. Lebih baik mengagungkan pencipta sekalian alam iaitu Allah itu sendiri sedang Dia itu Maha Besar. Sentiasa mengingat Allah dalam setiap hembusan nafas itu adalah lebih baik daripada perasaan curiga dan syak-wasangka terhadap seseorang. Kalau tidak tahu maka bertanyalah, jika tahu maka berkongsilah. Mungkin hang rasa hidup hang biasa-biasa saja pada pandangan diri hang tetapi pada diri seseorang yang lain mereka menganggap diri hang sebagai sumber inspirasi. Mereka menjadikan perjalanan hidup hang sebagai role model dan ikutan sehingga diri depa sendiri terkesan dengan setiap gerak geri, percakapan, pemakaian dan cara hidup hang. Terusklah menyebarkan rasa cinta. BECAUSE GOD IS LOVE!









No comments:

Post a Comment