Pada awal bulan februari baru-baru ini, aku balik ke aloq staq untuk menduduki peperiksaan akhir semester 2 di UUM sintok. Macam biasalah aku takkan lepaskan peluang untuk bersantai bersama para sahabat. Orang cakap melepak tu bukanlah suatu aktiviti yang sehat pun. Bagi aku ia terpulang kepada individu, kalau hang lepak tanpa pengisian memanglah tak berguna. Bukan kata lepak, masuk kelas agama pun kalau takdak pengisian, kerja menyindir dan menjatuh burukkan orang lain lagi lah tak berguna.
'Port' bersantai macam biasalah, kedai warung 'abang E' atau selalu aku sebut 'kedai hakim' walaupun sahabat aku si hakim tu cumalah pekerja bamcuh ayaq kepada abang E. Sudut kami sudah tentu disisi gelap belakang tempat hakim bancuh ayaq. Situlah selalunya menjadi tempat dimana segala buah fikir kami akan cuba dikunyah sampai lumat supaya ketemu suatu jawapan yang jitu.
Tajuk yang paling best pada ketika itu adalah pasai "otak kuning". Ada la sorang sahabat ni bertanyakan pasai spiritual maka aku pun beri sedikit pengalaman aku yang tak seberapa. Maka ditanya kepadaku "macam mana nak sucikan hati?" aku pun habaq la "nak suci hati, fikiran kena bersih la dulu." "Awat lagu tu?" "Iya lah, kalau fikiran tak bersih macam mana hati tu nak bersih? Pernah ka kita dengaq orang kata otak kuning (berfikiran lucah)? Pernah kan? Tapi tak pernah pula kita dengaq hati kuning kan?" Sebab apa jadi begitu? Apa kaitan otak (pemikiran) dengan hati (rasa)?
Otak merupakan pintu kepada rasa. Jika otak kita cenderung kepada perkara lucah maka hati kita akan mula berkeinginan untuk melakukan kelucahan. Oleh sebab itu dalam mengamalkan ilmu batin (ghaib), boleh dikatakan semua perguruan akan mengajarkan pengosongan diri, atau lebih mudah faham sebagai kosongkan fikiran. Selepas itu barulah proses pengisian zikir dilakukan. Mengapa perlu pengosongan fikiran?
Pengosongan fikiran dapat membuang segala fikiran-fikiran yang tidak baik lalu diisi dengan zikrullah. Ia bertujuan apabila diisi dengan zikrullah maka fikiran kita akan tetap fokus kepada kebesaran Allah yang mutlak. Ibarat sebuah cawan yang terisi air yang penuh, mana mungkin dapat diisi dengan air yang baru jika sekiranya bekas itu maseh berisi air.
Maka apabila cawan itu sudah terisi air baru yang kita dambakan, minumlah ia dan rasailah nikmatnya. Begitulah apabila melakukan meditasi mata ketiga, setelah melakukan segala disiplin meditasi itu lalu rasailah nikmatnya. Nikmat itulah kemuncak kepada meditasi mata ketiga. Nikmat itu tidak dapat difikir dengan kepala otak, ia hanya dapat dirasai.
Itulah yang orang-orang tariqat canang-canangkan sebagai sir (rahsia). Rahsia itu adalah sebuah rasa. Rasa yang hanya dapat dicapai apabila kita menghayati (menghidupkan) zikrullah (ingatan kepada Allah). Bukan hanya sekadar menyebut ulang nama sang pencipta sampai berbuih mulutnya tapi tiada sedikitpun rasa yang melekat di hati.
Otak itu perlu dilindungi daripada fikiran jahat. Jika tidak dijaga, melihat gadis berpurdah pun hang boleh x-ray sampai nampak kedalam baju! Sampai macam tu sekali hebatnya kuasa minda manusia ni. Setelah otak berjaya dikawal, barulah hati itu suci bersih. Ini kerana hati hanya dapat mengesan 'rasa' dan kuasa mengesannya teramatlah kuat. Itu sebabnya terkadang kita akan berasa "ish aku rasa tak sedap hati la." "Aku rasa, aku sudah jatuh cinta."
No comments:
Post a Comment