Saya seorang peminat cerita kartun dragon ball sejak dari kecil lagi. Dulu semasa kecil, kami sekeluarga tinggal di kawasan agak pedalaman negeri kedah iaitu di yan. Di sana segala kemudahan agak terhad dan kalau ada pun tidaklah secanggih seperti apa yang ada di bandar-bandar besar seperti di alor setar.
Pada zaman itu sekitar tahun 90-an, kanak-kanak masih lagi bermain permainan tradisional seperti gasing, guli, wau, congkak, batu seremban, tuju kasut, tui dll. Yang agak canggih pun pada waktu itu adalah permainan kereta "dash yonkuro" tapi itu pun tidaklah original melainkan hanyalah yang buatan china.
Bagi saya dan abang saya, kami ada juga minat lain selain bermain iaitu hobi kami membaca komik. Mulanya abang saya yang kenalkan saya pada perpustakaan awam di yan besar. Dari situ kami mula mendaftar sebagai ahli perpustakaan dengan bayaran 50 sen. Iyalah, jika nak diikutkan kami ini tidak mampu untuk membeli komik-komik yang terhad jualannya di daerah terpencil itu. Maka dari situlah kami mula kenal komik "mutiara naga" edisi indonesia.
Sejak mula mengenali dengan watak utamanya iaitu son goku, kami mula suka serta menjiwai watak tersebut. Bagaimana goku yang pada mulanya seorang budak nakal diasuh oleh datuknya untuk mengawal tenaga 'monyet jadian' sehingga mengorbankan nyawa datuknya itu pada akhirnya. Sehinggalah kami dibekalkan duit sekolah yang disimpan sikit-sikit supaya mampu membeli koleksi "mutiara naga" edisi bahasa melayu.
Sehinggalah sekarang dragon ball maseh lagi mengeluarkan episod terbarunya iaitu 'dragon ball super'. Ok kali ini barulah saya nak masuk cerita berkenaan kuasa goku yang terbaru iaitu 'ultra instinct'. Jika kita lihat pada siri terbaru ini, goku telah mendapatkan kuasa ultra instinctnya berakibat daripada terkena bola tenaga yang kuat serta menyebabkan dia hampir hilang nyawa. Dan lawan goku itu adalah jiren dari universe 11 yang memiliki kuasa hampir sama dengan dewa pemusnah.
Jika diamati dengan baik, kita akan faham bahawa kuasa naluri melampau goku itu akan tercapai apabila goku dalam keadaan yang tenang dan berfikiran 'kosong'. Maka dengan itu, goku hanya mengikut nalurinya dalam setiap pergerakan yang dilakukan samada untuk menyeran ataupun untuk menangkis serangan musuh. Walaupun begitu, kuasa baru itu tidaklah dapat berkekalan lama, kerana untuk mengekalkannya bagi goku, dia maseh tidak mahir lagi.
Tapi jangan kita terlepas pandang kepada Jiren. Beliau ada menunjukkan bagaimana caranya dia mengekalkan kuasa dewa yang ada pada dirinya, iaitu dengan bermeditasi! Ya, itulah satu-satunya cara bagaimana jiren mendapatkan kuasa 'naluri melampau' yang ada pada dirinya itu. Walaupun ia hanyalah sebuah cerita kartun, akan tetapi ianya diadaptasi daripada dunia realiti.
Jika anda pernah melihat dokumentari para shaolin di china, mereka mengamalkan meditasi sebagai cara untuk menguatkan tenaga dalaman serta untuk mendapatkan keupayaan naluri yang terdalam. Dalam islam juga terdapat suatu golongan yang digelar 'sufi' dimana mereka juga mengamalkan meditasi sebagai cara mereka mendapatkan naluri yang berhubung terus dengan tuhan. Cuma teknik mereka itu lebih kita kenali sebagai tafakur dengan cara bersuluk.
Jadi tidak dapat dinafikan lagi bahawa meditasi adalah merupakan satu-satunya cara purba dari zaman tamadun islam dahulu kala yang dipraktikkan bagi seseorang yang mengamalkan ilmu ketuhanan untuk mencapai tahap naluri yang berhubung terus dengan tuhan. Bagi mereka yang mahir ilmu ini seperti para nabi dan wali Allah, iainya menjadikan mereka mempunyai naluri melampau kerana ianya bukanlah suatu naluri yang dibuat-buat ataupun hanya sekadar rasa-rasa. Ianya adalah sebuah 'rasa' yang terwujud akibat langsung hubungannya dengan Maha Pencipta.
No comments:
Post a Comment