Berapa hari lepas aku ada berjumpa beberapa orang sahabat. Kami banyak berkongsi cerita mengenai ilmu mistik dan kerohanian. Banyak rupanya perguruan kebatinan yang wujud di Malaysia pada hari ini. Semuanya menawarkan ilmu yang hebat-hebat belaka. Banyak persoalan yang timbul apabila terlalu banyak jenis-jenis kebatinan yang berbeza, banyak teknik serta cara amalannya, sampaikan masyarakat melayu ada yang melarang anaknya untuk belajar silat kerana takut terjerat dengan ilmu kebatinan yang melibatkan pendamping.
Pertama sekali, apakah kita sudah faham apa itu kebatinan? Jika kita cakap sudah belajar ilmu batin, maka batin itu apa? Batin itu maksudnya adalah 'ghaib'. Maka jika sudah belajar ilmu batin ertinya kita sudah belajar ilmu ghaib. Ghaib disini maknanya tidak nampak. Oleh itu jika sekiranya kita cakap belajar ilmu batin, maka batin yang mana kita belajar? Nafas itu batin, dan roh itu juga batin.
Maka keluarlah cerita bahawa ilmu ghaib itu datangnya tidak lain dari tuhanlah juga. Ilmu yang hadir itu semuanya baik-baik belaka, menurut mereka. Kerana telah mereka kata asalnya hadir yang 'ghaib' itu dari tuhan, hendaklah belajar ilmu tuhan itu dululah. Ilmu tuhan itu adalah dengan mengenal tuhan (makrifatullah). Apabila sudah kenal, barulah kenal akan ilmuNya. Adalah tidak adil apabila kita belajar ilmuNya tanpa mengenal pemilik ilmu itu.
Sepertimana apabila kita belajar ilmu persilatan, yang sebenarnya asas dalam silat itu adalah langkah, seterusnya barulah pukul dll. Dalam ilmu matematik, campur, tolak, darab dan bahagi adalah asasnya. Dalam ilmu bacaan, huruf dan ejaan sebutan adalah asasnya. Dari situ kita dapat tahu bahawa segala ilmu yang terwujud di dunia ini ada mempunyai asasnya. Asas itulah ibunya segala ilmu, dengan memiliki asas yang kukuh ibarat lantai tapak yang tidak tergugat apabila tiangnya dipasak kelak, tidak roboh dinding dan bumbungnya nanti.
No comments:
Post a Comment