Jadilah murid dan jadilah guru!

Diri ini terlalu ego dengan ego yang sangat keterlaluan. Saya katakan bahawa saya ego, dan itulah antara punca terbesar yang menyekat diri saya daripada berjaya.

Melalui bacaan, berguru, kelas intensif, bermeditasi maka saya semakin sedar. Kesedaran membawa saya ke suatu arah tujuan yang baru, lalu saya bertanyakan kepada diri saya sendiri "apa yang saya mahu?"

Jawapan kepada soalan itu adalah sangat penting sekali. Jika sekiranya saya tidak dapat menjawab soalan itu dengan jelas, maka saya tidak akan mencapai kejayaan dalam hidup ini.

Maka setelah sekian lama, barulah saya menemui jawapannya. Saya tidak akan beritahu anda jawapan saya kerana saya khuatir ia akan mempengaruhi anda dan ia tidak sampai kepada tujuan perbincangan kali ini.

Apa sekalipun jawapan yang anda pilih, ia terserah anda. Pastikan ianya jelas barulah anda akan melihat hasilnya.

Kerana anda adalah 'guru' kepada diri anda sendiri. Anda memperbetulkan diri anda sendiri. Diluar sana terlalu banyak sekali input yang boleh diambil sebagai pedoman, akan tetapi diri anda sendirilah yang menentukan apa yang perlu diterima.

Dan sebagai manusia kita haruslah terus belajar dari hari ke hari. Dengan cara itulah saya menghapuskan ego. Saya sedar kebodohan diri saya. Bukan semua benda kita tahu dan bukan semua benda kita faham. Jadi, janganlah bersikap memandai-mandai. Biarlah tak pandai asalkan jangan memandai-mandai.

Saya hilangkan ego diri saya dengan nampak bodoh dalam bertanya, daripada menjadi bodoh selamanya. Ramai guru didalam dunia ini. Si anak kecil juga adalah guru kepada saya. Mereka mengajarkan erti kesabaran.

Nak menjaga anak bukanlah susah, jika sekadar memberi makan, pakaian dan persekolahan. Akan tetapi melayan kerenah itulah yang menguji kesabaran.

Kesimpulannya, jangan berhenti dari terus belajar. Belajarlah dan jadilah guru kepada diri sendiri. "Disaat anda berhenti belajar, disaat itulah anda sudahpun mati."




No comments:

Post a Comment