Syukur, ikhlas, redho

Semenjak arwah abah aku sakit, badan dia menjadi sangat susut termasuklah kesihatan diri dia. Tapi semangat dia sangat tinggi untuk meneruskan kehidupan kurniaan Allah.

Aku sebagai salah seorang anaknya, turut susut sama berat badan aku. Kurang selera makan. Sebenarnya aku banyak fikir apa akan berlaku selepas ni? Macam mana aku nak hadapi kalau tiba-tiba mak aku call cakap "abah hang dah tak dak."

Banyak perkara yang bermain difikiran aku. Itu belum lagi gelora jiwa yang melanda hati aku. Bagaimana harus aku hadapi emosiku jika suatu hari abah aku dah tak ada lagi?

Sayu, pilu melihat keadaan arwah abah ketika itu menahan sakit.

Aku ambil cuti rehat untuk tenangkan emosi aku. Merenung diri. 

"Macam mana akan aku hadapi situasi itu nanti? Kalau betul jadi, apa patut aku buat? Nak hubungi siapa? Nak uruskan macam mana? Nak tanam tu nanti nak habaq kat sapa?"

Sampai akhirnya aku memilih jalan tawakkal. Aku serahkan semuanya kepada Allah. Biarlah Dia yang uruskan segalanya. Aku tidak mampu.

Aku menyerah diri. Surrender!

Dengan jalan tawakkal, Allah permudahkan segalanya. 

Alhamdulillah..

Membuatkan aku sedar, aku tidak mampu apapun. Semuanya ketentuan Allah.

Aku hanya boleh bertawakkal dengan cara berserah diri.

Lalu timbullah Syukur, Ikhlas dan Redho.

Sejahteralah wahai sahabat ~🌹

Pemergian yang dicemburui

Hidup dan mati

Sebelum abah aku meninggal dunia, kami ada bersembang. Arwah abah selalu mengadu kat aku kata sakit dalam perut dia. Dia kata sebab Gerd. Dia kata lagi, "dengan Gerd ni aku kalah, sakit sangat."

Aku cakap kat arwah abah, "kalau dah sakit sangat tu berserah sajalah kat Allah. Serah balik sakit tu kat Allah dengan banyak menyebut nama Allah. Dia yang bagi sakit dan Dia juga yang menyembuhkan." InsyaAllah.

Aku ada cakap lagi kat arwah abah, syarat mati bukannya sakit atau tua. Syarat mati adalah hidup. Allah ada sebut dalam alquran "setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. - al-quran."

Abah faham dan dia redho dengan segala ketentuan Allah. Sebelum dia 'balik' dia ada pesan dengan mak dan abang serta adik-adik aku supaya redho dengan ketentuan kalau dia dah dijemput nanti.

Dipendekkan cerita, hari itu telah tiba. Masa aku sampai rumah kampung aku tengok abah dah nak 'balik'. Aku bisikkan ke telinga abah, "abah balik dengan tenang nah." Aku sayang pipi abah terasa sejuk seperti ais. Abah pejamkan mata lalu pulang ke dunia abadi.

Malam jumaat.

Segala urusan berlaku dengan sangat mudah. Dipermudahkan Allah. Alhamdulillah.

Terima kaseh kepada sahabat-sahabatku yang banyak membantu. Alhamdulillah 

Jenazah abah disolatkan oleh ramai orang. Diimamkan oleh Mufti Kedah. Alhamdulillah.

Sehingga dikuburkan semuanya berlaku dengan sangat mudah urusannya. Alhamdulillah.

Sebelum abah meninggal, dia pernah cakap dengan aku dia teringin nak dapat pengakhiran nafas dia pada hari jumaat. Kata abah hari jumaat tu istimewa.

Allah makbulkan permintaan dia. Alhamdulillah.

Dalam kenangan, abah. Shuib bin Hamid 15/11/2024.

Al-fatihah ❤️

Sejahteralah wahai sahabat ~🌹

Hidup Sederhana

Ketika kita menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat, atau hal yang perlu difikirkan terlebih dahulu. Maka itulah namanya sabar.

Sabar ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kita harus lalui ujian tersebut.

Begitu juga menasihati diri sendiri, cukup saja dengan berkata "sabaq la, esok lusa ok la tu."

Yang tak tertahan sekali adalah gejolak nafus yang sentiasa berkata "mana boleh! Mesti berlaku hari ni jugak! Tak dan nak tunggu esok dah!"

Memerangi nafsu tersebut pula tergolong dalam fiisabilillah.

Hidup ini cukup sederhana.

Bagi yang mahu menggunakan akal fikirnya.

Sejahteralah wahai sahabat ~ 🌹

Hakikat Sukan Hiburan

Aku dah agak akan ada susulan daripada kisah yang aku kongsikan sebelum ni pasai "muay thai vs silat". Rata-rata masyarakat seni beladiri kita masih tak faham berkenaan sukan muay thai atau One Championship dan seumpanya diwujudkan.

Sukan muay thai menjadi popular bukanlah semata-mata kerana petarung mahu membuktikan kejaguhan, ianya lebih daripada itu. Antara matlamat yang paling besar adalah kerana imbuhan kepada petarung bagi setiap kemenangan adalah amat besar!

Jika kita menelusuri petarung muay thai di Thailand, rata-rata mereka adalah berjumlah tidak kurang daripada ratusan ribu petarung professional. Tujuan dan matlamat utama mereka adalah ingin keluar daripada kemiskinan selain daripada membantu keluarga.

Itu sebabnya kita lihat hari ini banyak sukan hiburan yang wujud selain MMA, UFC dan One Championship. Ianya tidak lain adalah menawarkan imbuhan wang kemenangan yang besar kepada petarung. Aku tidak akan terangkan berkenaan pertaruhan judi kepada petarung kerana ia diluar konteks.

Berlainan pula dengan seni beladiri yang lain, ianya tidak dikhususkan sebagai sukan hiburan melainkan hanya sebagai sukan beladiri. Tujuan utamanya pula sudah tentu hanya sekadar mencari jaguh dikalangan beladiri yang mereka ceburi.

Apa kita ingat ibu bapa Jojo dengan sengaja membiarkan anak mereka membuat latihan keras selain dibelasah didalam gelanggang tanpa apa-apa matlamat yang jelas? Atau hanya sekadar nak tunjuk jaguh?

Tidak!

Sudah tentu ibu bapa Jojo nampak peluang untuk masa depan anak mereka untuk memiliki pendapatan sendiri dengan cara menjadi petarung. Sudah tentu jalannya sudahpun dilalui oleh ibu dan bapa Jojo sendiri sebelum ini.

Oleh itu, melalui jawapan Jojo sebelum ini yang orang lain lihat sebagai tidak matang, pada aku Jojo melihat ia sebagai sukan hiburan yang boleh mendatangkan hasil.

Jika kita nak bercakap pasal maruah silat serta sejarah keagungan silat, maka kita tidak perlu melatah sedangkan kita sendiri tahu sejauh mana hebatnya silat walau tanpa diceritakan.

Aku juga pengamal silat dan aku tahu serta yakin sejauh mana kehebatan silat. Bila ianya patut digunakan dan seberapa dahsyatnya teknik silat jika digunakan secara efektif semasa bertempur melawan musuh.

Jadi kepada anda yang mahu menonjolkan kehebatan, bolehlah hadir jemputan "open sparring" oleh rentap gym yang disertai oleh Jojo.

Mana tau kot boleh menang.

Kan?

Sejahteralah wahai sahabat~ 🌹