Minggu lepas aku bercuti pulang ke kampung halaman di alor setar. Setelah sekian lama aku tak balik kampung memandangkan kita semua diperintahkan untuk duduk di rumah dan tidak bergerak merentas negeri, maka cuti kali ni aku gunakan sebaiknya untuk bersama keluarga tercinta. Jadi, masa itu aku gunakan jugaujuga berjumpa kawan-kawan lama dan bertanyakan khabar dari mereka. Maka terkeluarlah suatu persoalan daripada kawan aku berkaitan olahan tenaga dalaman.
Aku ada kongsikan dengan dia bahawa tenaga dalam setiap manusia semuanya sama. Cuma kita saja yang tidak tahu bagaimana caranya untuk mengolahkan tenaga itu keluar dari tubuh badan kita. Sebagai contoh, ketika kita marah dan memarahi seseorang, sebenarnya kita telah keluarkan tenaga dalaman kita mengarah kepada individu yang kita marah itu dan tenaga amarah itu sebenarnya memberi kesan yang mendalam kepada individu yang dimarahi tersebut. Berkemungkinan orang itu akan berasa sakit hati, takut, dendam, tertekan akibat kesan langsung daripada tindakan marah yang kita luahkan itu.
Sama juga halnya dengan tenaga dalaman yang orang gelarkan sebagai jurus kebatinan. Ianya adalah melibatkan olahan tenaga dalaman diri kita dikeluarkan daripada tubuh untuk disalurkan kepada individu lain samada untuk kegunaan perubatan atau untuk memudaratkan. Kekuatan sesuatu olahan tenaga itu adalah bergantung kepada sejauh mana latihan yang kita lakukan.
Sebagai contoh latihan yang mudah adalah dengan melakukan meditasi. Latihan meditasi yang menumpukan kepada latihan pernafasan dan menyelami tenaga pernafasan, jika kita lakukan dengan betul maka kita akan faham apa yang aku nukilkan ini. Ianya adalah berkisar tentang 'merasai' nafas itu. Kerana pada nafas itu mengandungi tenaga dalaman. Maka setelah kita semakin dapat merasai tenaga tersebut dengan jelas, maka kita dengan mudah dapat mengalirkan tenaga itu keluar daripada tubuh badan kita samada melalui tangan dengan cara merasai tenaga itu mengalir keluar.
Intinya masih sama sahaja iaitu dengan cara cara merasai. Untuk mendapatkan kekuatan dalam melakukan aliran tenaga dalaman ini tidak lain adalah dengan cara latihan. Kita tidak akan mendapatkan hasilnya jika hanya berharap dengan membaca sebari ayat atau apa-apa bentuk ayat dan mengharapkan akan mendapatkan kesaktian. Jika benar adalah dengan izin Allah atau terdapat bantuan daripada benda lain. Sama seperti dalam permainan video, jika secara tiba-tiba menjadi kuat itu sudah tentunya dia menggunakan 'cheat code' ataupun ada bantuan daripada rakannya yang membantu dia untuk 'level up'.
Oleh itu, ilmu tenaga dalaman ini (nafas) adalah ilmu yang ada pada semua manusia. Kerana manusia itu dijadikan sama sahaja. Yang membezakan adalah fahaman kepada ilmu itu yang berbeza-beza. Mungkin ada yang menggunakan nama lain pada ilmu nafas ini, namun bagi aku ilmu kebatinan adalah ilmu pernafasan. Jika yang dibaca itu pada aku adalah ilmu yakin. Baca, amal dan yakin akan ilmu itu berhasil. Yakin itu pada tuhan lah jua.