Hati adalah Raja segala

Dalam hadis nabi Muhammad pernah dikatakan bahawa "dalam diri manusia itu ada seketul daging yang jika ia baik maka baiklah sekalian tubuh, apabila ia buruk maka buruklah sekalian tubuh. Iaitu adalah hati." Oleh itu disini bolehlah kita sifatkan bahawa hati itu adalah raja segala tubuh badan samada zahir mahupun yang batin.

Maka dengan itu, pertama-tama sekali yang paling perlu dipelihara ialah hati itu sendiri. Saya sendiri dulunya dalam penulisan saya pernah salah faham bahawa pemikiran yang bersih mampu untuk menjernihkan hati. Tapi sebenarnya saya salah. Hati yang bersihlah yang dapat menjernihkan pemikiran kita daripada segala fikiran kotor serta perbuatan keji dan mungkar.

Dengan sebab itu, dalam penulisan kali ini saya kongsikan pengalaman saya setelah berdiam seberapa lama dalam penulisan kerana saya mencari kebenaran yang sebenar-benarnya. Kebenaran dimana apabila sudah dapat dipegang akan kebenaran itu, walau apa pun yang mendatang kepada diri ini, kebenaran akan tetap sebagai kebenaran. Tidak akan diistilahkan sebagai bathil.

Untuk itu, cara meditasi yang selama ini difokuskan di kepala kini diubah ke hati (jantung). Caranya juga sama, rasakan jantung kalian sepertimana ketika kita menggenggam sebatang pen, rasa genggaman itu diolah kepada rasa genggaman pada hati. Bukanlah meramas ataupun menghenyak, hanya sekadar rasa dipegang. Dari situ proses meditasinya sudah bermula. Aturan nafas naik turun secara tertib sehingga timbul ketenangan. Bebaskan hati dari penghadang yang kita ciptakan, supaya ia bebas merdeka. Seperti keadaan di taman-taman bunga yang terdapat sungai mengalir.

Proses itu diteruskan seberapa kerap yang mampu. Santai saja. Lama-kelamaan fikiran akan mulai jernih dan tidak lagi serabut. Cubalah untuk ketahui hasilnya.