Sahabat pada asalnya adalah merupakan seseorang yang asing pada aku, seterusnya mula berkawan dan akhirnya layah bergelar sahabat. Untuk seseorang itu layak aku gelar sebagai sahabat hanya setelah melalui beberapa proses yang pada aku perlu supaya penggunaan perkataan sahabat itu tidak dilacurkan sesuka hati.
Dahulu pernah ada beberapa kawan yang sering mengungkapkan perkataan "kita sahabat dunia akhirat" tak kurang juga "sahabat sampai mati" akan tetapi mereka-mereka ini hanya akan menggelarkan kita sebagai sahabat mereka apabila kita menurut apa pengaturan dan kehendak mereka sahaja. Akan tetapi apabila kita memilih pengaturan yang berbeza maka kita sudah mereka gelarkan sebagai "sudah jauh menyimpang". Menyimpang itu pada aku cuma akibat aku memilih jalan sendiri dan jalan itu cumalah menjadi diriku sendiri.
Menjadi diri sendiri pada aku bukanlah bermaksud anda berbuat sesuka hati tanpa batasan. Yang aku maksudkan ialah kehidupan yang aku pilih tidak lagi dipengaruhi oleh siapa-siapa. Aku fikir, aku kaji dan aku perbetulkan diri aku tanpa perlu diarahkan siapa-siapa. Bermakna aku yang menguruskan hidup tanpa perlu diarahkan bagaimana aku perlu hidup.
Maka disitulah aku mulai kenal akan manusia yang bergelar sahabat. Aku memiliki beberapa sahabat. Bilangannya tak ramai, tak juga sedikit. Sederhana saja. Atas kapasiti apa yang sebabkan aku gelar mereka sahabat? Mereka ini telah diuji dan terbukti terpuji, apabila menunjukkan sifat jujur, amanah, menasihati dan bijaksana.
Ramai manusia yang gagal pada permulaan kerana tidak jujur dengan mengharapkan sesuatu dari diri kita. Seperti yang aku katakan pada awal tadi, apabila kita tidak lagi menurut kehendak mereka maka kita dikatanya sudah menyimpang. Sedangkan sahabatku tidak pernah pertikai akan haluan yang aku pilih asalkan ia tidak memudaratkan dan melampaui batas. Mereka faham dan memahami.
Pernah suatu ketika aku memakai lebai kemana saja. Aku mahukan imej yang nampak baik dan memberi kesan positif pada kelilingku. Tapi, aku rasa benda tu tak sesuai. Memandangkan manusia pada waktu itu memandang lebai itu sebagai simbol kealiman kepada tuhan, maka aku tinggalkan. Aku tak mahu manusia salah faham antara agama dan pemakaian. Agama islam adalah ad-din iaitu cara hidup dan cara hidup dibuktikan melalui sifat serta perangai. Jikalau anda ustad sekalipun jika sikap anda suka mencarut dan memaki hamun maka anda tidak layak menerima penghormatan dari saya. Sebab aku kenal diriku serta kemampuan diri sendiri, bukanlah manusia suci melainkan pendosa. Akan tetapi sifat manusia gila menggunakan agama sebagai benteng merupakan manusia hina.
Sahabat yang paling akrab sekali dengan diriku tidak lain adalah diriku sendiri. Perkara pertama sekali yang aku lakukan adalah jujur/benar dengan diriku sendiri. Jika aku rasakan tidak maka tindakanku perlulah seiring. Kedua semestinya aku amanah dengan diri sendiri. Amanah dengan akal, hati serta tubuh badanku. Ketiga menasihati diriku sendiri supaya setiap hari adalah sesuatu yang baharu. Dan akhir sekali bijaksana dalam pemikiran, rasa serta tindakan. Bertindak melulu itu sifat orang bodoh.
Itulah antara ciri-ciri sahabat. Aku cerita supaya anda tahu siapa yang patut digelar sahabat. Supaya anda lebih sedar dengan sekeliling anda, jangan mudah termakan kata. Baru kenal sudah mahu gelar sahabat. Belum lagi diuji dengan dugaan, barangkali apabila kesusahan mereka yang dahulu lari. Jangan terpedaya dengan perwatakan serta pemakaian. Pelakon lebih hebat wataknya, penyamun lebih kemas pakaiaannya, pengacara lebih hebat cakapnya. Nak tahu, uji dahulu.