Sepengetahuan saya positif dan negatif itu adalah sebuah energi. Energi yang dapat menguasai jiwa seseorang manusia. Ia bersifat emosi yang agak terdalam dan apabila diselami semakin dalam ia mampu mengganggu gugat kesihatan fikiran serta tubuh badan kita. Ini kita perlu teliti, jangan pandang enteng kerna ia bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main. Kejayaan atau kegagalan kita dalam menempuhi satu-satu jalan didunia ini amat bergantung rapat dengannya. Ia juga seolah-olah memberi gambaran tentang bagaimana yang dikatakan dengan pahala dan dosa serta syurga dan neraka.
Energi positif dan negatif mampu memberi gangguan kepada keseimbangan rohani pada diri kita. Saya beri anda satu situasi pengalaman diri saya, dimana saya pernah bertemu orang-orang yang positif dan negatif sepanjang kehidupan saya. Kita pergi ke sebuah kisah pertemuan dengan golongan yang negatif. Mereka ini saya kenal rapat, bukan bermaksud mereka sahabat atau kawan saya, saya maksudkan saya kenal mereka ini negatif. Saya kenal mereka melalui cara mereka lihat serta tutur kata yang keluar daripada mulut mereka. Dengan golongan negatif ini bagi mereka semuanya adalah masalah, tiada suatu pun yang mampu memberi kebaikan kepada dirinya walhal perkara yang diperkatakan itu hanya memerlukan sedikit tolak ansur serta motivasi. Mereka menganggap cadangan serta pandangan kita sebagai cubaan untuk mencabar kredibiliti mereka, dengan anggapan kita ini sebagai tidaklah berkelayakan. Situasi seperti itu akan menimbulkan suasana yang tidak senang, saya akan merasa tidak selesa sepertinya ada aura yang mampu melemaskan saya. Lalu saya berkeputusan menjauh daripada suasana tersebut sama ada dengan menjauhi daripada situasi itu ataupun menghentikan topik perbualan dengan serta merta.
Berlainan pula dengan energi positif. Saya berasa senang dengannya seperti berada dalam suasana berhawa dingin di musim salji. Ini melibatkan kalangan yang selalu memotivasikan, memberi kata semangat serta tunjuk ajar melalui pengalaman dan kemahiran yang mereka miliki. Saya pernah banyak kali menghadirkan diri ke seminar jati diri di mana setiap peserta akan diberi input-input yang positif mengenai cara membangunkan jati diri supaya mampu menyesuaikan diri mengikut persekitaran. Bak kata pepatah melayu "andai dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung." Begitulah positifnya seminar yang saya kerap sertai sehingga kini. Orang-orang yang positif juga cakapnya membangkitkan semangat, membuatkan yang lemah menjadi kuat, yang buruk menjadi indah-indah belaka. Ia bukanlah khayalan, ianya dikenali sebagai imaginasi!
Disudut situasi ini saya banyak belajar sesuatu yang baru mengenai hukum tarikan. Saya belajar bahawa emosi mampu menarik imaginasi menjadi sebuah realiti. Ia bermula dengan imaginasi yang sangat kuat dimana terkadang saya sampai terbayangkan bahawa ianya seperti sebuah realiti. Sedangkan pada waktu itu ia belumlah berlaku lagi. Diwaktu itu saya bayangkan bahawa saya akan melanjutkan pelajaran di universiti dan mendapatkan ijazah saya. Sedangkan diwaktu itu saya tidak tahu apakah matapelajaran atau jurusan apakah yang patut saya ambil. Saya hanya cakap pada diri saya bahawa "aku akan sambung belajar dan dapatkan sebuah ijazah." itu saja! Dan sekarang saya sudahpun melanjutkan pelajaran di UUM Sintok dalam jurusan ijazah komunikasi. Baru sahaja menamatkan semester satu.
Saya agak terkejut pada mulanya. Iyalah, saya sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata dan kini sedang menyambung belajar secara jarak jauh (PJJ). Ini membuktikan bahawa sesuatu imaginasi itu mampu mencipta realiti yang diluar batas pemikiran manusia. Ini disebut sebagai 'hukum tarikan'. Imaginasi yang dibangunkan didalam pemikiran kita akan mampu mencipta sebuah realiti. Akan tetapi imaginasi ini amat terkait rapat dengan emosi terdalam yang sedang kita alami sekarang ini.
Apakah emosi anda ketika ini adalah positif atau negatif?
Seandainya ianya positif maka ia amat baik untuk anda untuk membangunkan sebuah realiti dimasa hadapan. Jika sekiranya ia adalah negatif maka saya sarankan sebaiknya anda menjauhi daripadanya. Anda diam-diam berangkat daripada situasi negatif tersebut kerana ia akan mampu mengganggu projek pembangunan masa depan anda. Ia malah amat sukar dihakis seandainya sudah melekat di hati kita. Oleh itu, jauhilah ia. Sekiranya ia adalah positif maka jangan lepaskannya, ambil peluang tersebut dan rebut jangan sampai dilepaskan. Enjoy!
No comments:
Post a Comment