Kemuncak Segala Ilmu

Hari ini tanggal 27/07/2017 untuk kesekian kalinya aku mula tulis coretan dalam blog spiritual bangsa malaya. Sebagai penulis yang banyak berkongsikan ilmu yang melibatkan rohani ini, adalah menjadi ujian juga padaku sekiranya aku tidak mengamalkannya. Ianya ibarat tin kosong yang bunyinya saja membingitkan telinga malah isinya tiada pula kedapatan. Oleh itu aku peruntukkan masaku untuk beramal dengannya.

Maka tahulah kau bahawa kemuncak segala ilmu adalah beramal dengannya. Walau apa sekalipun ilmu yang kau ada, maka melakukan amalan dengan ilmu itu yang menghasilkan buahnya. Kerna ilmunya saja maseh belum mencukupi untuk kau kenal bagaimana rasanya manis atau pahitnya sesuatu ilmu itu. Kau perlulah beramal dengannya supaya kau lebih mengerti dan supaya kau mencapai kemuncaknya ilmu itu.

Sepertimana orang yang mendaki pergunungan, pencapaian mereka adalah tidak sama. Ada yang merasakan kepuasan berada di kemuncak gunung, ada pula yang merasa puas tatkala dapat melihat keindahan hutan-hutan. Kepuasan kita tidak sama. Begitu juga semasa beramal dengan ilmu yang kita ada. Kau buat sehingga kau merasa puas!

Dimana kemuncaknya kepuasan itu tidaklah aku tahu. Terserah pada kau, kerna diri itu yang merasa puasnya. Jika kau tanyakan pendapatku, maka ku serahkan segalanya kepada sang pencipta. Dia Maha Mengatur segalanya. Kepuasan diriku terletak pada redha-Nya.


Berserah Diri Kemuncak Segala Amalan

Layaknya keadaan berserah diri itu adalah seperti apa adanya. Cara mudahnya jika kita bermalasan maka keputusan yang kita akan dapat adalah hasil daripada kemalasan kita itu. Jika kita itu sifatnya rajin maka hasilnya adalah akibat daripada kerajinan yang kau usahakan.

Bagaimana pula jika hasilnya adalah berlawanan dengan apa yang kita usahakan?

Disitulah mengapa aku katakan kemuncak segala amalan itu adalah penyerahan. Dalam penyerahan itu terdapat pula ujian. Ujian itu berupa menguji keyakinan apakah benar apa yang dilakukan selama ini? Mengapa segini saja hasilnya? Apakah tiada pertolongan dari Maha Pencipta?

Dengan hanya melepasi ujian itu barulah kau dikira sebagai layak mendapat rasanya manis sesuatu amalan yang telah kau amalkan.

Kenaikan pangkat kau diuji dengan temuduga, kelulusan sijil kau diuji dengan ujian penilaian akhir, maka hidup amal kau diuji dengan penyerahan kepada Maha Pencipta. Hanya dengan keredhaan-Nya yang membuatkan kau lulus, bukanlah kerana hebatnya amalan yang kau lakukan.