Kita seringkali dengar mengenai jemaah. Terutamanya bagi aku sebagai muslim, perkataan jemaah itu sangat sinonim bagi menggambarkan kami golongan muslim ini hidup dalam komuniti yang kukuh.
Jemaah diertikan sebagai suatu kelompok manusia yang hidup berganding bahu, dalam satu komuniti yang memiliki ciri-ciri tugas masing-masing. Jemaah in biasanya akan mempunyai tujuan dan matlamat yang sama. Jemaah juga merupakan satu bentuk perpaduan dalam bentuk organisasi yang kukuh.
Oleh sebab itulah jemaah dan muslim tidak dapat dipisahkan. Telah kuatnya Islam suatu masa dahulu adalah dikeranakan jemaahnya. Dikatakan pada ketika itu kuatnya jaringan jemaah muslim seperti sarang lebah. Jangan kau cuba menjoloknya, maka nahas yang akan menimpa. Jemaah muslim pada ketika itu hidup dalam kelompok menghasilkan kebajikan ibarat lebah menghasilkan madu.
Lebah jika kita lihat, memiliki satu komuniti yang mempunyai seekor ratu. Segala tindakan adalah demi sang ratu serta mempertahankan komuniti serta sarang mereka. Hidup mereka mencari debunga dan menghasilkan madu melalui debunga tersebut. Begitulah indahnya komuniti lebah in. Dan begitulah juga jemaah muslim pada zaman Rasulullah.
Muslim pada hari ini gagal memahami inti pati jemaah. Mereka terlalu pandang yang jauh sedangkan Allah sendiri menyuruh manusia itu melihat kedalam dirinya sendiri until lebih kenal kepada Nya. Maka jawapan kepada jemaah yang kuat pada suatu ketika dahulu juga terletak di dalam diri insan itu sendiri.
Diajarkan bahawa setiap 7 perkara yang ada pada insan itu hendaklah hidup dalam keadaan berjemaah, maka apabila bersyariat semuanya menjadi mudah. Maka hendaklah dijemaahkan mereka ini:-
1- akal fikiran
2- pernafasan
3- tubuh badan
4- tulang empat kerat
5- pendengaran
6- penglihatan
7- percakapan
Setelah semuanya sudah berjemaah, menuruti satu tujuan dan kehendak yang sama maka berjayalah insan itu. Maka disitulah terletaknya rahsia jemaah muslim yang dikatakan sangat gagah perkasa. Setiap satunya hebat-hebat belaka. Tiada satu pun yang terkecuali. Jangan kau hairan mengapa para sahabat it ramai bilangannya.
Ini harta purba yang telah lama tenggelam. Aku cungkil naik ke bumi untuk kau santap. Semoga sejahtera wahai sahabat.