Sukan muay thai menjadi popular bukanlah semata-mata kerana petarung mahu membuktikan kejaguhan, ianya lebih daripada itu. Antara matlamat yang paling besar adalah kerana imbuhan kepada petarung bagi setiap kemenangan adalah amat besar!
Jika kita menelusuri petarung muay thai di Thailand, rata-rata mereka adalah berjumlah tidak kurang daripada ratusan ribu petarung professional. Tujuan dan matlamat utama mereka adalah ingin keluar daripada kemiskinan selain daripada membantu keluarga.
Itu sebabnya kita lihat hari ini banyak sukan hiburan yang wujud selain MMA, UFC dan One Championship. Ianya tidak lain adalah menawarkan imbuhan wang kemenangan yang besar kepada petarung. Aku tidak akan terangkan berkenaan pertaruhan judi kepada petarung kerana ia diluar konteks.
Berlainan pula dengan seni beladiri yang lain, ianya tidak dikhususkan sebagai sukan hiburan melainkan hanya sebagai sukan beladiri. Tujuan utamanya pula sudah tentu hanya sekadar mencari jaguh dikalangan beladiri yang mereka ceburi.
Apa kita ingat ibu bapa Jojo dengan sengaja membiarkan anak mereka membuat latihan keras selain dibelasah didalam gelanggang tanpa apa-apa matlamat yang jelas? Atau hanya sekadar nak tunjuk jaguh?
Tidak!
Sudah tentu ibu bapa Jojo nampak peluang untuk masa depan anak mereka untuk memiliki pendapatan sendiri dengan cara menjadi petarung. Sudah tentu jalannya sudahpun dilalui oleh ibu dan bapa Jojo sendiri sebelum ini.
Oleh itu, melalui jawapan Jojo sebelum ini yang orang lain lihat sebagai tidak matang, pada aku Jojo melihat ia sebagai sukan hiburan yang boleh mendatangkan hasil.
Jika kita nak bercakap pasal maruah silat serta sejarah keagungan silat, maka kita tidak perlu melatah sedangkan kita sendiri tahu sejauh mana hebatnya silat walau tanpa diceritakan.
Aku juga pengamal silat dan aku tahu serta yakin sejauh mana kehebatan silat. Bila ianya patut digunakan dan seberapa dahsyatnya teknik silat jika digunakan secara efektif semasa bertempur melawan musuh.
Jadi kepada anda yang mahu menonjolkan kehebatan, bolehlah hadir jemputan "open sparring" oleh rentap gym yang disertai oleh Jojo.
Mana tau kot boleh menang.
Kan?
Sejahteralah wahai sahabat~ 🌹