Pertama-tama sekali sebelum menjadi pejuang fiisabilillah (di jalan Allah) maka perlu tahu dan kenal Allah dahulu. Jika belum kenal maka belum cukup lagi untuk keluar berjuang.
Mustahillah jika kita cakap berjuang di jalan Allah sedangkan Allah itu sendiri belum kita kenal. Sekadar laungan membakar semangat, seruan jihad menjadi muslihat.
Oleh itu, perlulah kita kenal dulu Allah itu. Allah itu zat yang esa. WujudNya sudah wujud sebelum wujudnya sesuatu yang lain. Dia juga bersifat kekal dari awal hingga akhirNya. Dia tidak perlukan suatu kuasa lain untuk menggerakkanNya. Dan Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Maka jika sudah kenal, barulah boleh berjuang di jalan Allah. Berjuang dengan berperang berbunuhan bukanlah jalan sebenar fiisabilillah. Ia merupakan jalan penghabisan kepada kasih dan sayang.
Berjuang fiisabilillah yang sebenarnya adalah kasih dan sayang. Ya, kita berjuang dengan membawa kasih dan sayang ke seluruh alam. Pertama-tama sekali adalah kepada diri kita sendiri. Kemudian isteri dan anak, ibu dan bapa, abang kakak dan adik, kemudian barulah diluar lingkungan kita.
Penolakan kepada kasih dan sayang itu perlu dibalas dengan kasih sayang juga. Jika sekiranya ditentang dengan ancaman barulah terjadinya perang.
Itulah sebabnya hari ini, pejuang yang kononnya fiisabilillah lebih menimbulkan kebencian dikalangan masyarakat. Kerana mereka hanya menunggang nama agama demi perjuangan yang mereka sendiri tidak pasti. Yang mereka tahu itu adalah perjuangan di jalan Allah. Apa asas perjuangan? mereka tidak tahu.
Begitu juga dengan pegawai keselamatan seperti tentera dan polis, mereka berjuang demi negara. Mereka perlu tahu dan kenal prinsip dan rukun negara, barulah mereka boleh berjuang mempertahankannya. Jika mereka tidak tahu perkara asas itu, maka mereka berjuang dengan sia-sia.
Begitu banyak pertubuhan mengatakan mereka fiisabilillah. Mereka hanya seperti buih dilautan. Rohnya tidak ada, hanya ada pada nama. Fahamnya tidak sampai sedangkan ilmunya sudah tersedia. Cerita yang sama, fahaman ikut selera.
Asasnya sangat mudah. Kenal Allah dengan jalan kasih dan sayang. Kebencian itu adalah syaitan seperti mana ia benci kepada Adam.
No comments:
Post a Comment